setelah 32 berlalu..kami bertemu semula di alam maya pada 7 Mac 2016

                                                 
           


60195785419-1430965754.jpg

LENCANA SEKOLAH SKJ4 YANG MENYATUKAN KAMI



"kita semua sama, kita kawan, tak kira masuk U, tak masuk U kerja bagus, kerja tak bagus ,miskin, kaya ..kita semua sama.. kita kawan ..kita pernah membesar bersama, dari tadika hingga darjah enam.." ( 1979hingga 1984 )





Inilah ucapan keramat yang paling berkesan dalam hati saya. Saya beberapa kali membaca ungkapan ini. Tulus sahaja bunyi ungkapan ini. Saya kalau diusia muda, mungkin saya akan mudah bertegur dengan rakan-rakan yang sama persekolahan dengan saya tanpa mengira status. Tetapi perasaan segan,  malu, tidak yakin akan bertamu dihati saya jika terpaksa bertembung dengan mereka  rakan-rakan yang berjaya.

      Pada ketika dan waktu itu,  saya rasakan, saya mempunyai keupayaan yang sama dengan mereka, saya sekelas dengan mereka, guru yang sama, saya juga berusaha, tetapi saya tetap terkebelakang dari mereka. Semasa saya berumur 18 tahun saya masih perlu memakai baju putih dan berkain biru dan kasut sahaja berubah daripada putih sudah bertukar menjadi hitam. Saya rasa agak sebak juga kerana rakan yang mendapat keputusan peperiksaan yang sama dengan saya telah melanjutkan pelajaran  ke UTM. Saya masih perlu meneruskan langkah di alam persekolahan. Tetapi keresahan saya masih terubat kerana rakan  baik saya juga ada bersama saya. Saya lihat juga senior saya yang dahulunya hebat semasa SRP dan mendapat pangkat satu dalam SPM juga masih meneruskan persekolahan. Saya mengumpulkan sisa tekad untuk mencuba dan berusaha lagi di dalam peperiksaan STPM. Tahun 1990an STPM masih mendapat pengiktirafan, untuk mendapat gaji yang tinggi sedikit daripada lulusan SPM.

          Pada suatu ketika , saya  bertembung dengan rakan lelaki saya di tingkatan 5 di perhentian bas Jengka 2.Dia dapat melanjutkan pelajaran ke UTM. Rakan saya ini memanggil nama saya dan melambaikan tangan sambil tersenyum  semasa berada di dalam bas Sri Jengka. Saya hanya melihat sahaja lambaian itu tanpa mengeluarkan reaksi. Saya sedih bercampur malu...saya masih perlu di sini.. di sekolah ini SMKJ2 untuk meneruskan alam persekolahan. Saya tidak boleh terbang lagi dan melangkah gagah untuk menghadiri kuliah di Universiti. Saya pernah pergi mengikuti kursus mengenal emosi pelajar. Penceramah itu, sebelum  menjadi Pensyarah, beliau bertugas di Hospital  b di bahagian kaunseling untuk orang yang menghadapi masalah jiwa. Beliau membuat satu demontrasi tentang satu perkara kepada kami. Dia suruh kami memejamkan mata dan berfikir tentang satu perkara. Kami perlu melukiskan perkara yang kami fikirkan itu. Saya melukis 3 ekor ikan emas di tengah-tengah lukisan itu. Pensyarah  itu menganalisa lukisan saya. Katanya saya masih ada sesuatu impian yang masih saya tidak lepaskan dan belum tercapai. Saya tahu impian saya itu..saya mahu melanjutkan pelajaran ke Univerisiti. Walaupun ketika itu saya telah berkawin dan mempunyai anak.  hebatnya  impian saya ..yang terlalu mudah untuk segelintir orang mencapainya. Akhirnya dalam usia yang lanjut saya tetap juga dapat melangkahkan kaki ke menara gading yang bergelar IPG. Jadilah..impian saya terlaksana walaupun lambat daripada rakan-rakan sekelas di sekolah, dan lambat juga daripada sahabat  yang paling rapat  di zaman persekolahan. Semua saya terima dengan reda, di atas rezeki yang Allah berikan. Saya ketika ini masih belum menggenggam segulung ijazahpun kerana majlis konvokesyen pihak IPG masih belum adakan untuk KOHORT kami. Tidak mengapalah sekurang-kurangnya saya tamat belajar dan lulus dengan markah yang baik sesuai dengan usaha yang saya lakukan.


       Apabila usia telah melebarkan langkahnya, saya yang suatu ketika dahulu, kecil, sekarang ini telah menjadi tua. Saya mula merindukan rakan-rakan sepermainan di waktu kecil dahulu.Dengan kecanggihan  ICT , dan tertubuhnya facebook dan egen perhubungan yang lain seperti Whats App membuatkan saya dapat bertemu dengan rakan-rakan lama saya. Rakan-rakan di zaman persekolahan di sekolah rendah, menengah, Maktab, alam pekerjaan, rakan-rakan sekerja yang rapat, jiran-jiran, bekas anak murid, bekas guru, semua dipertemukan semula di dalam kecanggihan zaman teknologi maklumat ini. Bukanlah seratus peratus saya menjumpainya..ada juga yang tidak berminat untuk terlibat dalam aktiviti seperti ini. Masalah kekangan masa merupakan masalah utama.
Misi mencari rakan lama ini terjadi wujudnya perasaan rindu dan keinginan untuk mengetahui perkembangan rakan-rakan, telah bekeluarga atau belum, tinggal di mana, berkahwin dengan siapa, Semuanya ini berlegar-legar dalam ingatan. Status diri dilupakan kerana sudah dipanjat usia. Ungkapan di atas sesuai digunakan ketika ini.


  "kita semua sama, kita kawan, tak kira masuk U, tak masuk U kerja bagus, kerja tak bagus ,miskin, kaya ..kita semua sama.. kita kawan ..kita pernah membesar bersama, dari tadika hingga darjah enam.." ( 1979hingga 1984 )





       Sebelum tertubuhnya group SJK4 (1979-1984) ini kami sesekali berhubungan di facebook...ruanganyang terhad itu kami mencari rakan lama...kalau mengikut logiknya tidak akan bertemu lagi kerana telah terputus hubungan. Masing-masing telah membawa diri untuk menjalani kehidupan masing-masing. Rakan-rakan ini masing-masing telah mempunyai kehidupan yang tersendiri, dan keluarga sendiri. Kenyataan tegas di atas dizahirkan oleh ketua kelas kami. Namanya moden...umpama nama anak-anak sekarang. Dasyat pengaruh dia ni dari darjah 1 hingga darjah 6 dia menjadi ketua kelas kami. Begitu juga dengan penolong kelas kami adalah oran yang sama semenjak dari darjah satu hingga ke darjah enam. Dua nama yang sentiasa menjadi juara kelas iaitu juara dan naib juara. Aku hanya selalunya di tempat 4,5,6 di dalam kelas. Dan rekod terburuk aku adalah di tempat yang ke-12. Haru sungguh. Ketua dan penolong ini bernasib baik kerana bersekolah di Asrama Felda. Al maklum seorang anak Pengurus Felda dan seorang anak peneroka Felda yang mungkin dijaga akademiknya oleh kedua-dua ibu bapanya. Saya namakan mreka ini M.A.H dan Y.N.T. Saya memang tidak berapa belajarpun di rumah...ikut sukalah saya nak baca buku atau tidak..semuanya atas tanggungjawab sendiri. Kerja sekolah saya memang semenangnya buat. Minat membaca aku terutama buku cerita memang menebal.. saya selalu meminjam di mini perpustakaan di Jengka 4 sehingga ke sekolah menengah. Setelah darjah enam ada di antara rakan-rakanku yang bersekolah agama di Maran dan di Chenor, saya dan rakan-rakan yang lain memilih untuk bersekolah di Sekolah Menengah Jengka 6. Langsung terputus hubungan dengan rakan-rakan yang bersekolah asrama. Masing-masing dengan urusan masing-masing. Saya selepas tingkatan 3 telah pindah ke SMKJ2. Semasa saya di tingkatan 1,2,3 prestasi pelajaran saya memberansangkan..saya menjadi naib juara kelas dan tingkatan..mungkin sebab ketua dan penolong kelas saya di sekolah rendah saya tidak ada kot..itulah orang kata" Tak ada enau dan rotan, akar berguna juga.. Sekali lagi saya berpisah dengan rakan-rakan dari Jengka 4. Saya berkawan dengan rakan-rakan dari Jengka 5,6 dan 7. Rakan yang di Kuala Lumpur ini langsunglah tidak dengar berita. Yang bersekolah agama juga saya telah kehilangan mereka. Saya jenis tidak mengambil kisah hal kawan-kawan ke? Taklah..saya sebenarnya segan, saya ni biasa-biasa sahaja. Saya ingin berjaya...tapi keputusan periksa selalu biasa-biasa. 

           Pernah satu ketika saya kerja di kilang di PJVM Shah Alam, bertembung dengan rakan yang pernah saya kalahkan dalam peperiksaan semasa tingkatan 1,2,3 kini telah memasuki Universiti..saya cabut lari..malunya untuk bertembung..dia telah berjaya melayakkan diri ke Universiti..saya kerja kilang sahaja...keputusan peperiksaan saya tidak saya gunakan lagi. Saya tidak mungkin untuk mengamalkan kata-kata yang bewarna merah di atas. Malu ooo.. Saya berminat untuk mengulang mengambil STPM. Tetapi apabila saya berhenti kerja kilang saya mempunyai sedikit simpanan. Emak saya meminta saya mencari pekerjaaan dahulu , peperiksaan boleh difikirkan kemudaian, saya termakan juga dengan kata-kata emak saya. Saya belajar menaip di Maran. Sambil-sambil tu saya mengisi borang pekerjaan dan juga mendaftar di agensi mencari pekerjaan di Kuantan. Masa dahulu sukar untuk saya terima ungkapan di atas tu..malu U..kita tidak mempunyai arah tujuan lagi...emak ayahpun bukan orang senang. Ada juga yang kata" rugi no,...dia tak kerja..sekolah tinggi-tinggi buat apa..kerjalah apapun..kerja kilangpun boleh eh.." Panas telinga saya.

          Saya sering temuduga kerja di Kuantan. walaupun telah kerap kali temuduga di kuantan..tetapi abang saya melarang untuk menerima kerja yang bergaji kecil. Kaji sekadar RM300 adalah terlalu kecil katanya. Mujurlah penantian saya tidak lama. Saya seperti biasa akan menunggu posmen di tingkap dapur. Apabila posmen datang saya mulalah berdoa moga-moga posmen itu berhenti di depan rumah saya. Beberapa minggu saya menanti sebegitu. Tambah-tambah lagi saya target panggilan maktab telah mula keluar ketika ini. Saya berdoa dalam hati. Tiba-tiba hari itu ..posmen berhenti di depan rumah saya. Saya melihat posmen itu seprti meletakkan sampul surat besar di ruangan depan rumah saya. Saya cepat berlari turun ke ruang depan. Selipar tidak saya endahkan lagi. Berlari terus berlari. Saya segera membaca membaca nama yang ada di sampul surat itu. Hati bertambah berkocak, berdebar kerana nama yang tertera adalah nama saya.ROHANA BINTI ABD. JALIL. Mahu saya bertempik gembira. Tetapi tidak jadi..teringat di depan rumah ni. nanti orang terkejut pula. Saya membuka surat itu dengan gelojoh. Emak saya datang menghampiri.Saya amati surat itu. Saya dapat memasuki Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru sesi 1993/1995. Saya perlu mendaftarkan diri pada bulan April kalau tidak silap saya....( nanti saya check semula suratnya).Saya gembira. tetapi seketika. Siapa yang hendak menghantar saya  ke Jalan Datin Halimah, Larkin Johor Bahru? Emak meminta saya menghubungi abang saya di Kuantan. Saya segera ke  telefon awam. Harap-harap telefon ini eloklah hendaknya. Mujur juga telefon ini boleh digunakan. Saya bercakap dengan abang saya. Abang saya kata, dia belum minta cuti lagi.. Belum tentu boleh menghantar saya ke Larkin Johor Bahru. Saya memberitahu emak saya tentang masalah itu. Rupa-rupanya ayah saya telahpun berurusan dengan "Jantan" anak ayah haji untuk menghantar saya. Ayah saya dapat duit dari Felda kerana saya dapat melanjutkan pelajaran. Alhamdulilah. Semasa hari pemergian saya ke Johor, kami bertolak sebelah malam kerana 'Jantan" juga tidak pasti di manakah tempat itu. Jadi jika tersesat, tidak mengapa kerana kami mempunyai masa yang banyak untuk mencari lokasi yang tepat.

        Pada hari kejadian itu, abang saya ada jua pulang ke rumah saya. Jadi saya mempunyai 2 buah kereta untuk menghantar saya. Adik beradik saya memberikan ruang dan peluang untuk saya naik kereta berdua sahaja bersama emak saya.  Mereka maklumi saya terlalu rapat dengan emak. Perpisahan ini sedikit sebanyak membuatkan saya kesedihan. Jauh tu Johor Baharu dari Negeri Pahang. Dua adik  dan abang teh  naik  kereta abang saya. Saya mengeluarkan segala wang simpanan saya semasa bekerja kilang untuk membeli kelengkapan memasuki Maktab Perguruan. Saya membeli barangan seperti yang dicatatkan dalam borang senarai semak yang diberikan didalam surat.Saya juga membeli sebuah mesin taip.  Zaman tu komputer belum luas penggunaanya lagi. Semuanya menggunakan mesin taip.Mesin taip elektrik telah ada ketika itu. Kini bermulalah era  aku sebagai Guru  Pelatih di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim Johor Bahru, Johor Darul Tadzim.1993/ 1995 menggamit kenangan sebagai seorang guru pelatih.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantun kasih sayang ibu bapa

BBM3106 PEMULIHAN& PENGAYAAN

BUDAYA DALAM PEMBELAJARAN ( PPG 2012-2015)