Bawang Putih dan Bawang Merah
Semenjak
ketiadaan ayah dan ibu kandungnya, Bawang Putih tinggal bersama ibu tirinya,
Mak Kundur dan adik tirinya Bawang Merah. Mereka sangat bencikan akan Bawang
Putih. Dia sering dimarahi dan dipukul.
Pada
suatu malam, Bawang Putih bermimpi bertemu ibunya. Ibunya menyuruhnya masuk ke
dalam hutan dan mencari pohon beringin rendang.
“Pergilah hiburkan hatimu dan
bersabarlah, suatu hari nanti kau akan mendapatkan kebahagiaan”.
Keesokkan
harinya, Bawang Putih segera menyiapkan kerja-kerja rumah. Setelah ibu tirinya
pergi bekerja dan adik tirinya masih tidur, Bawang Putih masuk ke dalam hutan.
Dia mencari pohon rendang itu.
Setelah
puas mencari, diapun sampai ke situ. Dia terpandang sebuah buaian yang
tergantung di pohon beringin. Tempat tersebut seakan-akan sebuah taman tempat
puteri kayangan turun ke bumi untuk bermain-main. Ketika duduk di atas buaian dengan sendiri itu, tiba-tiba
buaian itu berayun dengan sendiri. Semakin lama semakin laju. Dia dapat melihat
bunga-bunga yang mengelilingi pohon beringin itu turut bergoyang-goyang.
Hatinya terasa terhibur.
Tiba-tiba
Bawang Putih teringatkan Mak Kundur. Ibu tirinya pasti akan memarahinya bila
pulang dan mendapati dirinya tiada di rumah. Namun Bawang Putih tidak tahu bagaimana hendak memberhentikan buaian itu. Bawang Putih lalu berkata
kepada buaian itu,
“ Wahai buaian, tolonglah berhenti,
aku ingin pulang ke rumah”
Tiba-tiba
buaian itupun berhenti dengan sendirinya. Pokok-pokok bunga juga turut berhenti
bergoyang.
Pada
suatu hari Bawang Putih bermain buaian seperti biasa. Tanpa disedarinya seorang
putera raja sedang memerhatikannya. Baginda tertarik melihat bagaimana buaian itu boleh berayun
sendiri apabila Bawang Putih menaikinya.
Ketika
Bawang Putih hendak pulang baginda menyuruh pengikutnya mengekorinya. Setelah
tahu di mana Bawang Putih tinggal, baginda pergi ke rumah tersebut. Ketika itu
Mak Kundur dan Bawang Merah berada di
halaman rumah.
“ Di manakah anak makcik yang
seorang lagi?” Tanya baginda.
Mak
Kundur meneka pemuda itu adalah anak orang kaya.
“Makcik mana ada anak yang lain.
Bawang Merah inilah satu-satunya anak makcik”. Kata Mak Kundur.
Baginda
menceritakan tentang gadis yang dilihatnya bermain buaian di hutan.
“Bawang Merah inilah yang bermain
buaian itu.”
Bohong
Mak Kundur. Setelah pemuda itu beredar Mak Kundur memaksa Bawang Putih
menunjukkan tempat buaian itu. Mak Kundur membawa Bawang Merah bermain buaian
itu. Namun buaian itu tidak berayun dengan sendirinya. Putera Raja mengintainya
dari sebalik sebatang pokok. Baginda menyuruh pengiringnya pergi ke rumah Mak
Kundur dan membawa Bawang Putih ke situ. Pengiringnya pun pergi dan mendapati
Bawang Putih dikurung dan diikat. Maka pengiring itu segera membuka ikatan itu
dan membawa gadis itu bertemu dengan Baginda. Mak Kundur terkejut melihat
kehadiran baginda bersama Bawang Putih.
Apabila
Bawang Putih berbuai dan menyanyi, buaian itu berayun laju.
“Laju-laju buaiku laju
Pohon beringin tegaknya tinggi
Kalau rendah menyapu bumi
Penghibur aku, menolong aku
Bertiuplah oh angina bayu
Laju-laju buaiku laju
“ Makcik telah berbohong kepada Beta!”Kata
Putera Raja.
“Kamu ibu yang zalim.Kamu telah
menyeksa Bawang Putih!” Kata baginda lagi.
Mak
Kundur menangis dan meminta ampun kepada baginda.
“ Ampunkan patik tuanku, ampunkan
patik tuanku .”
Bawang
Merah pula meraung dan menangis kerana dengkikan Bawang Putih. Bawang Putih
yang baik hati meminta Putera Raja mengampunkan Mak Kundur dan Bawang Merah.
Putera Raja kagum dengan sifat kemuliaan Bawang Putih. Akhirnya Putera Raja
mengahwini Bawang Putih. Mereka hidup
gembira selama-lamanya.
Ulasan
Catat Ulasan