Kisah menangkap ikan.


                                                                         
Kecoh Kampung Jengka apabila  tujuh  sahabat iaitu Maon, Khan, Medan, Amin, Murshid, Deli dan Hassan  hilang dari kampung. Puas sudah ibu bapa ini menyelongkar ke merata tempat seperti  reban ayam, semak samun, perigi dan gudang baja yang selalu menjadi tempat budak-budak ini berkumpul. Tiada bayang budak-budak ini kelihatan di mana mana tempat yang dijejaki. Puas ditempik  nama budak-budak ini tiada seorang pun yang menjawab.  Resah meniti setiap jiwa ibu bapa budak-budak ini. Bimbang anak-anak ini diculik, ada juga rasa bimbang anak ini dilanggar lori, atau terjatuh dalam lubang dan tenggelam di dalam  perigi buta. 
       "Ke mana budak-budak ni pergi Pak Japor weh...pantang lepa..mesti hilang budak-budak ni" Bebal Pak Samad kepada Pak Japor.
       " Elok kita ikatnya aje deme ni.. tak payah bagi main, bagi muka je sikit dah hilang ke mana entah" Marah Pak Khalid.
        " Mohlah kita cari lagi sekali, manalah tahu mata kita tak nampak, kita tengok dalam keadaan marah, tu tak jumpa tu. Lepas ni kita cari perlahan-lahan, kotnya kita boleh jumpa. Budak-budak ni kalau kita panggil dengan suara yang kuat tak maunya deme keluar, lagi menyorok ada, deme takut kita tempeleng ya tu.." Kata Pak Alang dengan tenang.

          " Moh, kita cari lagi, serentak ke tujuh-tujuh bapa yang kehilangan anak bergegas sambil berpecah mencari di tempat yang telah ditetapkan.

           Tiba-tiba kedengaran suara memanggil di belakang  lelaki tua ini." Pakcik saya nampak Maon, Khan, Medan, Amin, Murshid, Deli dan Hassan ada mandi di sungai di kawasan kubur sana. Budak tu tengah menembak ikan, ada juga yang tengah mandi sungai, riuh di sungai tu pakcik" Kata Budin bercerita sambil termengah-mengah kerana penat mengayuh basikal.

         Apa lagi bergegas ke tujuh-tujuh ayah menunggang motorsikal menuju ke sungai Jengka 4. Di tangan masing-masing  tergengam  rotan. Hai budak-budak bersedialah kau untuk di rotan. Setiba di tepi sungai, kelihatan  budak-budak ini gembira bermain dengan air sungai. Air sungai agak cetek kerana musim kemarau sedang melanda. Mereka  tolak menolak sesama sendiri. Tarik menarik seluar antara mereka juga dilakukan. Mereka ketawa besar apabila ada di antara rakan mereka yang terlondeh seluarnya menyebabkan punggung kelihatan. Apa lagi aksi kejar-mengejar terjadi akibat perbuatan ini. Si Amin hanya memerhati gelagat rakan-rakannya. Dia sedang berangan untuk memajukan kawawan itu menjadi kawasan percutian yang  dapat menarik ramai pelancong ke daerah itu. Misinya untuk menjadi ahli perniagaan berjaya akan dijadikan target utama.  Maon, Khan dan Deli masih tidak berhenti bergurau. Rasa gembira tetap menyelubungi hati walaupun pagi tadi telah didenda guru kerana tidak menyiapkan kerja matematik. Cikgu Dahari memang guru yang garang.
Denda daripada Cikgu Dahari tidak menjadi kudis kepada mereka.

         " Mari main kawan-kawan, dunia ini kita yang punya" Tempik  Deli  dengan kuat.
Kawan-kawan tujuh sekawan tersenyum dan menunjukkan tanda bagus kepada Deli apabila mendengar arahan daripada komanden tak bertauliah mereka.

Murshid dan Medan   bermain di atas pokok tumbang yang melintang di dalam sungai.  Mereka seakan-akan berlatih berkawad. Mereka tidak mengendahkan rakan-rakan yang lain yang leka berenang.  Cita-cita mereka ingin menjadi askar apabila dewasa nanti. Si Murshid membetulkan kedudukan tangan Medan yang keliahtan bengkok. Si Murshid berpusing di sekeliling Medan seakan-akan memeriksa perbarisanan semasa kawad dijalankan. Tujuh sekawan leka dengan permainan yang direka oleh mereka dengan penuh penghayatan.

Di sebalik batu yang besar Deli, Maon, Khan, Amin, Hassan duduk berbual untuk merancang aktiviti yang akan dijalankan pada cuti pada minggu hadapan.Masing-masing mencari idea yang menarik untuk dilaksanakan bersama. Lokasi perkhemahan mereka sudah semestinya di tepi sungai ini. Suara Deli memecahkan suasana sepi dikalangan lima sahabat itu.

            “Esok kita nak buat apa ya?” Tanya Maon kepada Deli. 
          “Esok kita tangkap ayam nak, kita sembelih,  Nak rasa macam mana daging ayam yang baru disembelih. Selama ni asyik makan ayam daging yang dibeli di kedai.” Cadang Deli dengan sungguh-sungguh.  
             “Kita jerat ayam hutan dulu, Murshidkan pandai buat jerat. “ Tambah Maon bersemangat.                    "Kita minta beras dari Amin, ayah dia mesti bagi punyalah.” Kata Khan tersengih.
             " Murshid, Medan ke sini, ini ada rancangan yang baik ini untuk kita laksanakan" Jerit Deli kepada rakannya yang berdua itu, yang dari tadiasyik bermain di atas batang pokok yang tumbang itu. Maka berlari-larilah kedua-dua rakan sambil tujun ke dalam sungai  itu untuk segera menghampiri kumpulan kawan-kawannya yang leka berbincang umpama mesyuarat  penting sedang berlangsung.
          Sedang mereka berkumpul  sambil berpegangan tangan seperti pasukan ragbi sedang berbincang, terdengar satu suara yang memanggil nama mereka.
           " Sudah-sudahlah tu, berendam, mari balik, karang lama-lama berendam, ada yang kecut, sedang-sedang elok aje untuk disunatkan." Suara Pak Samad  bergema, mematikan  perbincangan tujuh sahabat itu yang sedang rancak itu.  
            Mendengar ungkapan bersunat ketujuh-tujuh sahabat itu segera lari melompat tebing. Mereka mencicit lari sambil mencari seluar dan baju mereka. Tujuh sahabat itu melihat ayah mereka sedang memandang mereka dengan tajam. Seperti di arah-arah mereka berlari ke arah ayah masing-masing. Mereka pergi mendapatkan tangan ayah mereka. Mereka tahu dengan cara itu sahaja kesalahan mereka akan dimaafkan ataupun dipertimbangkan. Harap-harap hukuman yang mereka terima tidaklah seteruk dilibas dengan tali pinggang. 

          " Mari kita balik, hari dah beransur petang, semua dah laparkan" Kata Pak Samad. 
Tujuh sahabat hanya mengaggukkan kepala. Takut untuk menjawab lebih-lebih. Takut kena hukum.Dalam hati tujuh sahabat itu berharap mereka akan dilepaskan kali ini. Mujur Amin mengikut mereka.   Ayah Amin dihormati penduduk di Kampung itu. Jika Pak Samad  masih bertenang dengan kerenah aanknya, mungkin ayah-ayah yang lain akan begitu juga. Tetapi tujuh sekawan pasti selepas ini mereka semua akan dihukum tidak keluar rumah lagi. Apa nak buat. Nasi telah menjadi bubur. Rahsia kumpulan  mereka telah pecah. Mereka perlu memastikan rancangan mereka dilain kali disusun dengan teliti. Mereka merasakan Amin tidak mungkin akan bersama mereka lagi. Peperiksaan Penilaian darjah lima akan berlangsung tidak lama lagi. Amin perlu belajar dengan tekun.    
          Tujuh sahabat hanya melambaikan tangan di antara satu sama lain.Mereka menaiiki motosikal ayah masing-masing. Di kepala hanya tergambar hukuman yang akan diterima oleh mereka. Mereka reda kerana mereka anak jantan. Mereka hanya tersenyum di antara satu sama lain. Tujuh sahabat akan terus bersatu.

    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Pantun kasih sayang ibu bapa

BBM3106 PEMULIHAN& PENGAYAAN

BUDAYA DALAM PEMBELAJARAN ( PPG 2012-2015)