BUDAYA DALAM PEMBELAJARAN ( PPG 2012-2015)
1.0
Konsep
kepelbagaian sosio budaya
1.1 Pengenalan
Berdasarkan Kamus Dewan (2007) , budaya ditakrifkan sebagai tamadun,
peradaban, kemajuan fikiran, akal budi (cara fikiran), berkelakuan dan
sebagainya. Budaya juga diklasifikasikan sebagai satu cara hidup yang diamalkan
sesuatu kumpulan tertentu dan meliputi sistem sosial, susunan organisasi
ekonomi, politik, agama, kepercayaan, adat resam, sikap dan nilai. Dalam konteks pendidikan semasa, budaya di sekolah
dilhat sebagai budaya yang diiktiraf
sebagai sebahagian daripada budaya
masyarakat. Di sekolah, murid akan dididik
untuk berbudaya sebagaimana dikehendaki oleh masyarakat. Budaya dalam
masyarakat juga akan mempengaruhi budaya di sesebuah sekolah.
Konsep kepelbagaian sosiobudaya di Malaysia perlu diperkenalkan dan
ditanamkan dijiwa pelajar sejak mereka masih kecil lagi. Masyarakat Malaysia
yang berbilang bangsa, agama. adat resam, latar belakang perlu disatu padukan
sehingga boleh membentuk satu integrasi nasional. Banyak usaha yang telah kerajaan
usahakan untuk memupuk integrasi nasional. Langkah terbaru yang kerajaan
lakukan adalah Gagasan 1 Malaysia. Di
dalam Gagasan 1 Malaysia kerajaan berhasrat untuk memupuk perpaduan antara kaum dan penerimaan
keunikan setaiap kaum seadakan
supaya dapat hidup bersama dalam keadaan
saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Hasrat kerajaan ini
hanya dapat direalisasikan sekiranya semua bangsa di Malaysia bersama-sama
bersedia untuk bersatu padu.
Dalam bidang pendidikan guru adalah agen penting untuk memupuk kefahaman dan memberikan penghayatan
kepada pelajar tentang konsep kepelbagaian sosiobudaya dan implikasinya kepada diri, bangsa dan
negara. Para pelajar seharusnya memahami kepelbagaian sosiobudaya yang
terdapat di Malaysia. Mereka perlu mengetahui budaya dan struktur masyarakat
lain yang terdapat di negara kita. Dengan adanya pemahaman terhadap sosiobudaya
masyarakat lain, mereka akan dapat menyemai serta mengamalkan perasaan hormat,
bekerjasama dan toleransi antara satu kaum dengan kaum yang lain. Para pelajar
perlu peka dan sensitif dengan kepelbagaian sosiobudaya ini. Jika sikap ini
telah kukuh dalam setiap jiwa warga Malaysia wawasan untuk menjadi Malaysia sebagai negara yang bersatu padu, mempunyai masyarakat yang
mempunyai nilai moral yang kukuh, hidup secara demokratik, liberal dan bertolak
ansur, penyayang serta adil akan terlaksana pada tahun 2020 nanti.
2.0
Konsep Kepelbagaian Sosiobudaya murid
Sekolah Kebangsaan Puncak Alam.
2.1 Bangsa
Murid-murid di sekolah saya terdiri daripada bangsa Melayu iaitu
seramai 966 orang, bangsa India seramai 31 orang. Walau
pun murid berbangsa India dan Cina tidak ramai tetapi mereka dapat bergaul
dengan rakan-rakan berbangsa Melayu dalam keadaan yang saling
hormat-menghormati, bekerjasama dan toleransi. Rakan-rakan berbangsa Melayu
pula dapat menerima ciri rakan bangsa lain tanpa mengambil kira identiti dan
asal-usul mereka. Tidak ada prasangka atau prejudis dan diskriminasi terhadap
satu sama lain di kalangan mereka.Mereka saling hormat-menghormati, bekerjasama
dan toleransi.
Sekiranya ada majlis keagamaan contohnya untuk orang Islam seperti
Maal Hijrah, murid-murid yang beragama lain tidak dipaksa untuk mengikuti
majlis tersebut. Murid-murid ini akan diberikan aktiviti lain bersama dengan
guru mereka. Kami juga bernasib baik kerana mempunyai dua orang guru yang
berbangsa India. Jadi kami tidak mempunyai masalah untuk mengurus murid-murid
ini jika ada majlis ilmu untuk orang-orang Islam. Murid-murid dan guru yang
bukan beragama Islam diberi kebenaran untuk bercuti sekiranya ada upacara
keagamaan yang mahu mereka ikuti. Sekolah mengamalkan sikap terbuka di dalam
beragama bagi mereka yang bukan beragama
Islam. Setiap bangsa di sekolah Puncak Alam
tidak bersikap etnosentrik
malahan dapat menerima budaya
masyarakat lain.
Salah satu takwim sekolah yang tetap dilaksanakan pada setiap tahun
adalah Hari kanak-kanak. Sekolah
Kebangsaan Puncak Alam akan menyambut hari kanak-kanak pada bulan oktober setiap
tahun. Semua kanak-kanak di sekolah saya diminta untuk memakai pakaian mengikut
tradisi keluarga masing-masing. Pada hari tersebut ada yang memakai baju
kurung, baju kebaya, baju melayu dan ceongsam, sari dan lan-lain yang
mengambarkan tradisi keluarga mereka. Dengan cara ini, murid-murid dapat
mengenali pakaian tradisi mengikut etnik
dan kaum.
Murid-murid India dan Cina sudah menyerapi asimilasi budaya .
Murid-murid India dan Cina mempelajari
budaya masyarakat Melayu dan diamalkan dalam kehidupan seharian mereka
terutamanya di sekolah. Murid-murid sekolah saya dapat menerima
kepelbagaian sosiobudaya ini tanpa
merasa janggal. Integrasi sosial di
antara setiap bangsa di kalangan murid
berlaku dengan baik dan erat. Setiap murid dapat menerima bangsa lain tanpa mengambil kira identiti dan
asal-usul mereka. Mungkin mereka telah
biasa bercampur gaul semasa di tadika atau jiran tetangga mereka adalah terdiri
daripada bangsa yang berlainan dari diri mereka. Murid-murid ini juga telah dapat menerima
perubahan dan pinjam- meminjam unsur kebudayaan. Murid-murid ini tidak akan kehilangan identiti
etnik mereka. Murid-murid di sekolah saya sudah tidak canggung untuk menerima
konsep kepelbagaian sosial yang wujud dikalangan mereka. Murid-murid India dan
Cina juga dapat menerima kepelbagaian sosiobudaya seperti bersalaman sambil
mencium tangan guru semasa menerima hadiah dan pulang dari sekolah yang lebih
sinonim bagi kaum Melayu.
Guru-guru India juga turut
melaksanakan cara bersalaman dengan murid-murid semasa pulang dari sekolah.
Murid-murid juga akan memberikan salam atau salam sejahtera untuk guru-guru
mengikut kesuaian kaum. Guru-guru tidak meminta murid-murid dari keturunan
India dan Cina untuk melakukannya tetapi
mereka melakukan dengan rela hati kerana mereka telah dapat menyerap dan
menerima kepelbagaian sosiobudaya yang
ada di sekolah. Kerap kali saya dapati
murid perempuan berbangsa India dan Cina memakai baju kurung sekolah ketika
hadir ke sekolah. Ini membuktikan mereka boleh menerima sebahagian budaya
daripada rakan-rakan yang lain. Murid-murid ini juga telah berjaya
menyerap kepelbagaian sosiobudaya yang
ada di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam.
Bagi menyambut hari Kebangsaan di peringkat sekolah, sekolah setiap tahun akan merancang mengadakan pertandingan pakaian seragam
mengikut kaum di Malaysia. Tujuan pertandingan ini adalah untuk mendedahkan murid-murid kepada
kepelbagaian sosiobudaya yang ada di sekolah dan juga di Negara Malaysia. Murid-murid dengan kerjasama
ibu bapa bersungguh-sungguh bersiap sedia dengan pakaian tradisi masing-masing
untuk digayakan pada hari pertandingan itu. Sepasang wakil murid dari setiap kelas dari tahun satu
hingga enam akan mengambil bahagian. Secara
tidak langsung guru-guru berusaha dan telah
berjaya menyerapkan kepelbagaian sosiobudaya di kalangan murid di Sekolah
Kebangsaan Puncak Alam.
Semasa perhimpunan sekolah
juga selalu di ingatkan kepada murid-murid tentang kepelbagaian sosiobudaya ini
dan harus hormat menghormati di antara satu sama lain.Guru-guru agama dan moral
mempunyai tanjunggungjawab yang besar untuk memastikan kepelbagaian sosiobudaya
di sekolah tidak akan merenggangkan hubungan sesama kaum. Murid-murid yang masih kanak-kanak perlu
diingatkan tentang semangat setiakawan dan perpaduan berbilang bangsa.
Guru-guru bersama-sama
murid-murid sekolah Puncak Alam selalu membuat jamuan hari raya diperingkat
sekolah. Pelbagai makanan disajikan. Ini juga salah satu cara untuk menonjolkan
kepelbagaian sosiobudaya yang terdapat di sekolah. Kebanyakan murid gembira
apabila jamuan diadakan. Murid-murid cina akan membawa makanan yang dibeli daripada orang Melayu kerana mereka memahami sosiobudaya yang
terdapat di sekolah kami.
Kalau dulu orang Melayu dikenali dengan memakai baju
melayu, kurung, kain pelikat, songkok
dan makan laksa, kuih koci, buah melaka, kuih lapis, dan nasi lemak.
Sementara kaum Cina pula memakai
Cheongsam, Sam Fu dan makan Kuih bakul, kuih bulan, pulut, nasi dan dimsum.
Sementara kaum India pula memakai Sari,
serban, kurta, dhoti dan sarung. Orang India pula makan tosai, idli, muruku, apam, kesari dan ladu. Sekarang perkara itu tidak berapa
ketara lagi. Setiap bangsa telah dapat
menerima kebiasaan kaum lain dari segi
pakaian dan makanan. Kaum Melayu ada yang memakai kain sari untuk dibuat baju
kurung, ada yang memakai ceongsam yang telah diubah suai menjadi baju kurung
moden. Sementara makanan pula semua
bangsa tidak kira Melayu, Cina dan India makan amat berselera makan nasi lemak. Orang Cina
dan Melayu juga makan tosai. Orang India dan Melayu juga sudah berminat makan
dimsum. Semua kaum telah mengalami asimilasi budaya. Cuma kaum Melayu yang beragama
Islam tetap juga boleh makan makanan bangsa lain tetapi mesti dipastikan
ianya mematuhi hukum syarak yang menjadi pegangan umat Islam. Semua bangsa
telah dapat menerima asimilasi budaya
tanpa menghilangkan budaya asal kaum masing-masing.
2.2 Bahasa
Bahasa ialah alat atau perwujudan budaya yang digunakan manusia
untuk saling berkomunikasi atau berhubungan, baik dari segi tulisan, lisan,
ataupun gerakan (bahasa isyarat) bertujuan menyampaikan maksud hati atau
kemahuan kepada orang lain. Melalui bahasa, manusia dapat menyesuaikan diri
dengan adat-istiadat, tingkah laku, peraturan masyarakat dan sekali gus mudah
membiasakan dirinya dengan segala bentuk masyarakat. Bahasa merupakan satu
faktor yang penting dalam usaha memupuk
perpaduan di kalangan pelbagai kaum di kalangan murid-murid di sekolah saya.
Perhubungan yang baik telah dapat dijalin dengan berkesan kerana
mereka dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Jika murid Cina berbual dengan murid Melayu,
mereka akan menggunakan bahasa Melayu, jika murid Cina bertemu dengan murid
India juga mereka menggunakan bahasa Melayu.
Sekolah Puncak Alam adalah sekolah Kebangsaan, semua bangsa boleh datang
untuk belajar di sini. Tetapi bahasa utama yang perlu digunakan adalah Bahasa
Melayu. Murid-murid India dan Cina pasti
akan lancar berbahasa Melayu jika bersekolah di Sekolah Kebangsaan. Ini bukan
bermakna sekolah kebangsaan menekankan diskriminasi bahasa. Semua bahasa boleh
digunakan.
Masalah akan timbul bila
murid India menggunakan Bahasa India dan murid Cina menggunakan bahasa Cina
tentunya akan mendatangkan masalah kefahaman bahasa. Setiap
kaum juga akan mempunyai masalah untuk berinteraksi.
Kaum Cina bukan semua mempunyai bahasa yang sama. Ada yang menggunakan Bahasa
Kantornis, Hokkien dan Mandarin. Bagi memudahkan masyarakat Cina mereka semua
memilih menggunakan Bahasa Mandarin untuk perbualan bagi semua kaum Cina.
Sekolah-sekolah Cina menjadikan Bahasa Mandarin
sebagai salah satu subjek di Sekolah Cina.
Dalam konteks Sekolah Kebangsaan Puncak Alam, menggunakan Bahasa
Melayu membuatkan semua maklumat yang
hendak disampaikan akan mudah difahami oleh semua rakan-rakan berbilang bangsa.
Di sekolah saya murid-murid memilih untuk bercakap di dalam bahasa Melayu. Jika mereka berjumpa dengan rakan-rakan
sebangsa mereka akan bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Ada satu kes di
sekolah saya, ibu murid ini berasal daripada Pakistan, di rumah mereka
menggunakan bahasa Pakistan. Murid ini pada mulanya tidak pandai langsung
berbahasa Melayu. Disebabkan dia bercampur dengan pelbagai sosiobudaya di
sekolah, lama –kelamaan murid ini telah
mahir berbahasa Melayu.
2.3 Struktur Masyarakat atau Kelas Sosial
Struktur sosial merupakan susunan daripada unsur-unsur sosial yang
asas dalam masyarakat iaitu kelompok, kelas sosial, nilai dan norma sosial,
serta lembaga sosial. Struktur sosial merupakan fakta sosial, iaitu cara
bertindak, berfikir dan berperasaan yang berada di luar individu tetapi
mengikat. Kelas tertentu mempunyai identiti dengan cara hidup tertentu. Terdapat
dua cara untuk menganalisis struktur sosial, iaitu:
(a) Keturunan/ kasta, tingkat pendidikan, kekayaan, dan usia.
Pembahagian ini dinamakan perbezaan sosial (perbezaan tahap). Dalam konteks di
Malaysia, struktur sosial ini dapat dilihat lebih kepada tingkat pendidikan,
kekayaan serta usia.
(b) Suku bangsa, ras, golongan/ kelompok, jenis keluarga, agama dan
seterusnya. Pengagihan ini dinamakan perbezaan sosial (perbezaan fungsi dan
adat).
Di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam status social adalah mengikut
kadar pendapatan yang di dalam data murid yang diperbaharuai setiap tahun. Ada segelintir orang Melayu yang tidak mempunyai pendapatan tetap
kerana ibu bapa mereka bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji bagi
menentukan status pendapatan mereka.
Seramai 10 orang murid-anak
mereka yang tidak mempunayi slip gaji akan diberikan rancangan makanan khas untuk
murid-murid iaitu yang dinamakan rancangan makanan tambahan. Ibu bapa murid-murid yang lain pula terdiri daripada kelas pekerja iaitu Kolar biru yang melakukan pelbagai bentuk kerja manual seperti operator
pengeluaran.
Ada
juga murid-murid di sekolah ini dari kalangan
kelas menengah. Golongan kelas menengah ini terdiri daripada
golongan professional dan pentadbir seperti pensyarah, guru, kerani dan jururawat. Golongan seperti adalah
penduduk majoriti di Puncak Alam. Kebanyakan penduduk di Puncak Alam
adalah orang-orang yang bukan berasal daripada
Selangor. Mereka menetap di Puncak Alam kerana bekerja di negeri ini.Di Puncak
Alam juga ada murid-murid yang mempunyai
ibu bapa dari golongan atasan yang mempunyai
perusahaan kilang sendiri.
2.4 Adat Resam Masyarakat
Melayu, Cina dan India.
Tiga kaum terbesar ini aiaitu Melayu, Cina dan India mempunyai adat
resam yang tersendiri. Adat ialah kebiasaan, manakala resam ialah lembaga,
peraturan, hukum, norma yang dijunjung oleh kelompok masyarakat. Dalam bahasa
Melayu lama, adat merujuk kepada undang-undang atau hukum adat yang merangkumi
bidang sosial, politik, ekonomi bahkan undang-undang samudera.
Adat resam merupakan kebiasaan cara
hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak
budaya masyarakat tersebut. Adat resam masyarakat Melayu, Cina dan India
mempunyai adat resam yang lebih kurang sama. Contohnya dalam adat merisik. Bagi
kaum Melayu, adat merisik juga dipanggil meninjau
atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan bagi memastikan si gadis masih belum
berpunya kerana islam melarang meminang tunangan orang. Tujuan utama adat ini
dilakukan bagi menyelidik latar belakang si gadis dan selalunya dijalankan oleh
suadara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Pihak si
gadis akan mempertimbangkan dahulu lamaran sebelum membuat apa-apa jawapan. Adakalanya
semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya
berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan
tarikh untuk peminangan. Pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk
menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh
kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan
mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan
berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang
pula.
Bagi kaum Cina mereka juga ada
adat merisik. Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang
gadis yang dihajati dan ingin mengetahui keturunan, peribadi, watak dan tingkah
laku si gadis. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu
bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan
keluarga si gadis atau mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran
dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini dapat mengeratkan
perhubungan di antara kedua belah keluarga. Setelah kedua-dua pihak berpuas
hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan
dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi
membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan dan majlis pertunangan akan
dijalankan selepas itu.
Sementara kaum India juga ada
cara mereka merisik. Semasa merisik
maklumat mengenai gadis diperolehi dari pihak yang terlibat, sahabat-handai atau saudara mara. Orang
tengah( tirumana taragar) akan merisik. Adat
penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal
dijalankan. Bakal pengantin lelaki datang untuk melihat sendiri paras rupa dan
perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal( melihat
bakal isteri). Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan
dan lain-lain dibawa tanda berniat baik dan untuk mengeratkan hubungan
kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut sekiranya
bersetuju. Bakal pengantin perempuan memakai sari dan dipertanggungjawabkan
menghidang air minuman. Bakal pengantin perempuan perlu melayani para
tetamu dan bakal suami. Kemudian
kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Adat pen paarttal juga bertujuan
untuk mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.
Setiap
kaum ada adat resam mereka sendiri.
Tetapi setiap adat resam itu ada persamaan pada seiap kaum. Faktor adat resam ini juga memudahkan proses
alimilasi sesame kaum di Malaysia. Kesamaan dari segi adat ini mebuatkan
masyakat berbilang kaum ini mudah untuk
bekerjasama dan mewujudkan kesefahaman bagi memastikan kepelbagaian
sosiobudaya bukanlah punca untuk mereka tidak bersatu padu.
2.5 Jantina
Jenis jantina merupakan perbezaan berdasarkan biologi, sedangkan
gender berdasarkan hubungan sosial dan budaya. Dalam sesetengah masyarakat,
kumpulan lelaki amat diperlukan. Dalam sesetengah masyarakat, anak lelaki
diutamakan dalam keluarga. Anak lelaki dikatakan penyambung generasi.
Masyarakat Cina juga mementingkan akan anak lelaki. Bagi kaum Cina anak
perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja. Apabila
berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya. Bagi orang
Melayu pula anak perempuan kurang diberikan kebebasan
untuk keluar rumah berbanding dengan anak lelaki. Anak-anak
perempuan diasuh untuk membuat kerja-kerja rumah bagi membantu ibu memasak dan
mengemaskan rumah tangga. Anak perempuan juga tidak dibenarkan untuk keluar
rumah sesuka hati dikhuatiri akan
menimbulkan fitnah.
Budaya masyarakat majoriti Melayu dan masyarakat Cina juga mementingkan nasab
keluarga dari sebelah lelaki. Nama pangkal seseorang iaitu nama keluarga
didalam masyarakat Cina ialah nama keluarga disebelah lelaki. Sebagai contoh,
nama Prof. Dr. Teo Kok Seong dan Prof. Wang Gunwu, nama pangkal mereka iaitu
Teo dan Wang itu ialah nama warisan keluarga ayah mereka yakni nama keluarga
sebelah lelaki. Kaum lelaki Cina juga seperti kebanyakan lelaki bangsa lain,
dilantik menjadi ketua keluarga dan merupakan waris utama pusaka keluarga. Ini
merupakan salah satu aspek adat yang menjadi amalan masyarakat Cina.
Kepentingan meneruskan kesinambungan keluarga di dalam masyarakat
Cina, contoh aspek perkahwinan juga
menjadi amalan masyarakat mereka. menyebabkan perkahwinan seorang lelaki
didalam keluarga adalah amat penting. Secara tradisi, perkahwinan tersebut akan
mengikuti beberapa upacara yang bermula dengan merisik oleh seorang perantara
hinggalah perkahwinan. Namun, pada zaman yang lebih moden ini, hanya
pendaftaran menurut undang-undang saja yang diperlukan dan akan diadakan majlis
keraian yang mewah di restoran.
Bagi
kaum India, meskipun bapa memainkan peranan utama tetapi ibu adalah institusi
yang paling dihormati dan dianggap mulia, ‘Ibu adalah umpama Tuhan’ dan anak
perempuan juga dipanggil ‘amma’ seperti seorang ibu di dalam tradisi India.
Oleh itu, penjagaan anak perempuan amat dititik beratkan terutama ketika mereka
masih anak dara.
Seorang
suami pula didalam masyarakat India adalah ‘Tuhan bagi isterinya’ dan mesti
sentiasa dihormati. Keadaan seperti di atas terbawa-bawa kea lam persekolah.
Anak-anak perempuan lebih lemah lembut berbanding lelaki. Anak-anak lelaki suka
permainan yang lebih kasar dan lasak. Sementara anak-anak perempuan memilih
untuk bermain permainan yang bersifat
kewanitaan. Anak-anak lelaki memilih untuk bermain bola sepak yang
memerlukan kuasa untuk menyepak, berlari dan berebut bola. Murid-murid
perempuan tidak suka bermain bola sepak. Mereka lebih berminat untuk bermain bola jaring
yang tidak terlalu lasak dan merebut bola dengan menggunakan kaki. Keadaan ini
berlaku disebabkan pendidikan awal di
rumah. Anak lelaki sejak awal lagi telah
diajar untuk berkuasa dan diberi keutamaan dalam keluarga. Lantas keadaan ini
membuatkan mereka lebih berani dan
berkeyakinan diri. Sementara anak perempuan diajar untuk menurut perintah dan
tidak membantah suruhan daripada ibu bapa membuatkan mereka lebih pemalu. Kaum Melayu, India dan Cina masih mempunyai
pendangan yang sama mengenai jantina.
2.6 Kepercayaan
Setiap masyarakat mempunyai kepercayaan serta nilai masing-masing.
Kepercayaan ini menjadi pegangan kepada sesetengah ahli masyarakat secara
turun-temurun. Dalam konteks pendidikan, pendedahan tentang kepercayaan
masyarakat lain kepada para pelajar dapat mengelakkan sebarang salah faham
sesama mereka yang berlainan budaya.
Kepercayaan memberi hala tuju kepada kehidupan
sesebuah masyarakat tidak kira masyarakat Melayu, Cina dan India di sekolah Puncak Alam.
Nilai-nilai kepercayaan merupakan prinsip –prinsip yang
menentukan perkara yang perlu dan bermoral dalam sesebuah masyarakat. Nilai
dalam masyarakat boleh mempengaaruhi norma dalam sesebuah masyarakat itu. Kepercayaan
yang mengandungi pantang larang dan tunjuk ajar kepada keturunan mereka. Kepercayaan adalah bertujuan untuk mendidik
tetapi disampaikan secara halus. Setiap kaum Melayu , cina dan India ada
kepercayaan yang tersendiri. Contoh kepercayaan orang Melayu yang tidak
membenarkan duduk di atas bantal. Menurutnya jika dilakukan nanti akan tumbuh
bisul di punggung. Hakikatnya duduk di atas bantal adalah tidak elok dikuatiri bantal akan pecah dan koyak. Adalah tidak
sesuai benda yang digunakan untuk melapik kepala diletakkan di bawah
punggung.
Bagi kaum India pula contoh kepercayaan yang sebenarnya mempunyai
unsur ke a rah kebaikan ialah mandi bijan. Kebaikan mandi bijan ini adalah sama
dengan mandi di sungai Ganges. Tujuan mandi bijan ini adalah untuk membersihkan diri dari segala kejahatan dan
sifat dengki. Bagi kepercayaan masyarakat Cina pula mereka mempunyai masa sebanyak 20 hari yang
terbaik setiap tahun untuk menunaikan tanggungjawab memberi kehormatan dan
peringatan kepada nenek moyang, ibu –bapa dan ahli-ahli yang tersayang yang telah meninggal dunia.
Kepercayaan ni adalah untuk menggalakkan masyarakat Cina berlumba-lumba untuk
membuat kebaikan di hari tersebut.
Kepercayaan ketiga-tiga bangsa yang terbesar di Malaysia dan sekolah saya ini semuanya bertujuan untuk kebaikan. Setiap masyarakat jika mempunyai nilai
kesefahaman yng tinggi tentang
kepercayaan, maka lebih mudah masyarakat Malaysia untuk membentuk kesefahaman
dalam kehidupan masyarakat majmuk tanpa gusar dengan kepelbagaian sosial yang
ada.
3.0 Implikasi Kepelbagaian Sosiobudaya
Perbezaan dan kepelbagaian sosiobudaya sukar untuk dinafikan dalam
sebuah negara seperti Malaysia yang lahir dari kelompok masyarakat yang berbilang etnik iaitu Melayu, Cina, dan
India yang menjadi majoriti terbesar serta kaum pribumi Sabah dan Sarawak serta
orang asli dan kaum-kaum lain menjadi kaum minoriti. Setiap etnik membawa sosio
budaya yang berbeza yang diwarisi daripada nenek moyang yang terdahulu.
3.1 Implikasi Kepelbagaian Sosiobudaya Kepada Murid
Individu murid adalah unik dan berbeza memandangkan latar belakang
mereka yang berlainan. Setiap murid membesar dan terbentuk hasil interaksi
dalam persekitaran masing-masing. Budaya merupakan faktor pengaruh yang paling
berkesan ke atas perkembangan individu. Budaya mempengaruhi cara murid
berfikir, cara murid bertindak, juga mempengaruhi pandangan, perasaan dan
pembawaan.
Menurut Marcelle,
DuPraw dan Axner (atas talian), terdapat enam corak asas budaya yang membuatkan
murid itu unik dan berbeza iaitu:
(i)
Berbeza dalam gaya komunikasi
Gaya komunikasi merujuk kepada penggunaan bahasa dan komunikasi
bukan verbal. Dua orang yang berlainan latar budaya, malah dalam budaya yang
sama boleh mempunyai penggunaan bahasa yang berbeza. Individu Melayu Utara
bersuara lantang dan bernada tinggi semasa berbual adalah diterima. Rakan karib
menggunakan sapaan ‘aku-hang’ adalah diterima tetapi bukan dalam perbualan
dengan orang yang lebih tua. Begitu juga dalam perbualan dialek Melayu di
Pantai Timur, terdapat kosa kata yang boleh mengelirukan pemahaman pengguna
bahasa standard. Contohnya kosa kata ‘selalu’ membawa maksud ‘sekarang’.
(ii)
Berbeza sikap terhadap konflik
Mereka yang terdidik dalam keluarga yang mengamalkan perbincangan
misalnya, akan lebih bersikap terbuka dalam menghadapi masalah
konflik(pandangan yang berbeza). Penyelesaian dalam bentuk berbincang secara
bersemuka mungkin sesuai bagi kelompok ini. Sebaliknya, kebanyakan murid berasa
tidak selesa membincangkan secara terbuka atas sebab tidak mahu menjatuhkan
‘air muka’. Penyelesaian secara tertutup atau secara bertulis mungkin lebih
sesuai.
(iii)
Berbeza pendekatan dalam menyelesaikan
tugas
Setiap budaya mempunyai cara tersendiri
dalam pendekatan menyelesaikan tugasan. Antara faktor yang mempengaruhi
termasuklah akses kepada bahan sumber, pandangan terhadap ganjaran yang akan
diterima setelah selesai tugasan, pandangan terhadap kepentingan masa,
pandangan terhadap hubungan kerjasama dalam pasukan dan perkaitannya dengan
penyediaan tugasan.
(iv)
Berbeza dalam gaya menyelesaikan masalah
Gaya menyelesaikan masalah turut bergantung
pada pegangan sesuatu budaya. Terdapat budaya yang mengamalkan perkongsian
tanggungjawab dan penurunan kuasa kepada anggota lain dalam masyarakat atau
keluarga. Justeru, amalan tanggungjawab bersama dalam menyelesaikan masalah
wujud. Sebaliknya terdapat juga budaya yang mengutamakan tanggungjawab individu
untuk menyelesikan masalah. Murid-murid berasal daripada latar belakang,
justeru wujud amalan yang berbeza dalam menyelesaikan masalah.
(v)
Berbeza sikap terhadap pendedahan
pandangan
Setiap individu mempunyai pandangan yang
berbeza terhadap sikap ‘berterus-terang’ baik tentang emosi dan perasaan, sebab
musabab perbalahan atau maklumat peribadi.
(vi)
Berbeza dalam pendekatan untuk mengetahui
Setiap budaya mempunyai cara tersendiri
dalam proses mengetahui ataupun belajar. Budaya Barat lebih mengutamakan
pemikiran kognitif manakala budaya Timur lebih berpegang kepada kesahihan
maklumat. Terdapat juga budaya yang memfokuskan aspek afektif, muzik dan
pergerakan. Justeru, setiap murid mempunyai gaya berfikir dan gaya belajar
masing-masing. Malah pelajar lelaki dan perempuan juga mempunyai gaya fikir dan
gaya belajar yang berbeza. Lantaran itu, guru harus dapat mengesan gaya fikir
dan gaya belajar pelajarnya dan menyesuaikan gaya mengajar dengan gaya belajar
pelajar agar mereka akan dapat belajar dengan lebih berkesan.
Justeru, pelajar di bawah seliaan kita adalah berbeza dan perlu
mendapat layanan yang berbeza selaras dengan keunikan masing-masing.
3.1.1 Kemahiran dan
Penguasaan Bahasa
(a) Bahasa daerah, bahasa ibunda atau dialek sahaja
Pelajar yang hanya
menguasai dialek atau bahasa ibunda semata-mata berkemungkinan menghadapi
masalah dalam pembelajaran, kurang faham bahan yang dibaca dan penerangan guru.
Kesannya mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.
(b) Dua atau lebih
bahasa dengan kosa kata yang terbatas atau meluas.
Pelajar yang
menguasai dua atau lebih bahasa; contohnya bahasa ibunda, bahasa Malaysia dan
bahasa Inggeris akan lebih mudah menguasai pembelajaran memandangkan sinapsis
telah terbentuk dalam otaknya. Lantaran itu, pelajar polyglot (menguasai banyak
bahasa) cepat dan tangkas dalam pemahaman konsep dan menjadi pelajar pintar
cerdas jika dididik dan diasuh dengan cara yang betul dan sesuai dengan
keupayaannya.
3.1.2 Kaum Etnik
(a) Satu kaum atau
etnik
Pelajar yang tinggal dan belajar dalam lingkungan satu etnik yang
selalunya mengamalkan budaya, cara fikir dan pandangan dunia yang sama kurang
mendapat pendedahan akan budaya kaum lain. Justeru, pemahaman dan kesedaran
budaya lain hanya dipelajari melalui bacaan bukan amalan. Kemungkinan proses
menyesuaikan diri dengan kaum atau etnik lain akan menjadi sesuatu yang sukar.
(b) Pelbagai etnik
Pelajar yang belajar di sekolah dan persekitaran yang disertai oleh
pelbagai kaum etnik akan terdedah kepada amalan, adat resam, pandangan dan cara
fikir kaum etnik yang berbeza sama ada sedar ataupun tidak, Pelajar dalam
situasi ini akan dapat belajar bahasa etnik ini secara tidak langsung. Perasaan
saling menerima dan saling menghormati dapat dipupuk hasil pergaulan pada masa
formal belajar dan secara tidak formal.
3.1.3 Kelas Sosial
Pelajar terdiri daripada pelbagai kelas sosial: rendah, sederhana
dan tinggi. Kelas sosial wujud hasil taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi keluarga.
Pelajar yang tergolong dalam kelas sosial rendah mungkin menghadapi
masalah berkaitan dengan pembiayaan, kemudahan belajar, kurang kelengkapan
untuk belajar dan sebagainya. Mereka juga menghadapi masalah kurang mendapat
perhatian ibu bapa atas sebab kesibukan mencari rezeki. Pelajar-pelajar kurang
bersemangat dan berisiko menghadapi masalah keciciran dalam persekolahan.
Pelajar yang datangnya daripada golongan sosioekonomi sederhana dan
tinggi kurang menghadapi masalah kelengkapan dan kemudahan pembelajaran,
berpeluang menghadiri kelas bimbingan berbayar, mendapat perhatian dan dorongan
yang khusus daripada ibu bapa. Hasilnya, peluang mendapatkan pendidikan lebih
meluas berbanding mereka yang berada dalam taraf sosioekonomi rendah.
3.1.4 Petempatan
(a) Bandar dan pinggir
bandar
Pelajar bandar dan pinggir bandar lebih terdedah kepada
kepelbagaian budaya etnik yang berbeza. Terdapat budaya yang pelbagai
berdasarkan taraf sosioekonomi yang membentuk kelas sosial berbeza. Lantaran
itu, dalam sesebuah sekolah bandar dan pinggir bandar akan wujud kepelbagaian
budaya kesan persekitaran. Terdapat pelajar yang tergolong dalam kelompok
miskin bandar, kelas sederhana yang rata-rata anak pegawai kerajaan dan swasta,
juga mereka yang kaya. Budaya pelajar daripada aspek tumpuan perhatian kepada
pelajaran, kemampuan berbelanja, tingkah laku dan pandangan terhadap tugas dan
tanggungjawab akan jelas berbeza bergantung pada aspirasi ibu bapa, jenis
pekerjaan, pandangan terhadap pendidikan dan sebagainya.
(b) Luar bandar dan pedalaman
Pelajar di sekolah luar bandar dan pedalaman selalunya mengamalkan
budaya yang sama, etnik yang sama, pandangan dunia yang serupa dan sebagainya.
Justeru, tindakan, pandangan dunia, aspirasi dan pandangan terhadap pendidikan
yang ditunjukkan berkemungkinan kurang mencabar sebagaimana mereka di bandar
besar. Rata-rata pelajar di luar bandar kurang mendatangkan masalah kepada
sekolah dari segi tingkah laku.
3.1.5 Gaya Berfikir dan
Gaya Belajar
Setiap pelajar mengamalkan gaya berfikir dan gaya belajar yang
berbeza. Terdapat tiga gaya pembelajaran asas yang umum iaitu visual, audio dan
kinestetik. Pelajar audio mudah memahami isi pelajaran melalui proses
mendengar. Pelajar visual perlu mendengar dan melihat untuk memahami isi
pelajaran sementara pelajar kinestetik perlu terlibat melakukan aktiviti
membuat untuk menguasai pembelajaran.
Terdapat juga
pelbagai bentuk gaya belajar yang berasaskan gaya berfikir individu yang
membuatkan setiap pelajar berbeza. Ada pelajar yang memerlukan bantuan latar
untuk memahami pembelajaran. Pelajar jenis ini tergolong dalam gaya fikir ‘field
dependent’ ( bergantung latar, iaitu bergantung pada persekitaran yang
membentuk sesuatu). Pelajar perempuan lebih banyak memerlukan bantuan latar
berbanding lelaki, juga bergantung kepada budaya hidup etnik. Pelajar lelaki
kebanyakannya boleh berfikir dan menanggapi pembelajaran tanpa bantuan latar(‘field
independent’). Seterusnya terdapat pelajar yang boleh berfikir secara
pantas dan ada juga pelajar yang mengambil masa yang panjang untuk memahami dan
bertindak. Pelajar impulsif (berfikir dan bertindak pantas) lebih mudah membuat
kesilapan dalam pembelajaran berbanding pelajar yang reflektif. Pelajar
reflektif mengambil masa dan berfikir panjang sebelum mengambil tindakan.
Pelajar reflektif lebih mudah mengingat maklumat, lebih memahami teks dan lebih
cekap dalam penyelesaian masalah dan membuat keputusan berbanding pelajar
impulsif.
3.1.6 Gender
Pelajar lelaki dan perempuan sering kali mendapat layanan yang
berbeza memandangkan perlakuan yang mereka tunjukkan sering kali berbeza.
1.
Pelajar perempuan lebih tekun memberikan
perhatian dalam pembelajaran, mematuhi peraturan bilik darjah dan sekolah.
2.
Pelajar perempuan lebih kemas dan teratur
berbanding lelaki.
3.
Pelajar perempuan menunjukkan prestasi
baik pada peringkat rendah. Pelajar lelaki menunjukkan prestasi baik pada
peringkat menengah.
4.
Pelajar lelaki biasanya lebih mendapat
perhatian guru dalam pembelajaran dan interaksi dengan guru.
5.
Pelajar lelaki selalunya dianggap ‘bermasalah’.
6.
Pelajar lelaki lebih baik dalam mata
pelajaran pengiraan dan lemah dalam mata pelajaran sastera dan bahasa.
3.2 Implikasi
Kepelbagaian Sosiobudaya kepada guru
Pelajar dalam sesebuah bilik darjah terdiri daripada etnik, taraf
sosiooekonomi, latar belakang keluarga, kawasan petempatan, budaya, adat resam
dan bahasa yang berbeza. Lantaran itu guru tidak seharusnya menggunakan cara
yang sama untuk melayani dan memberikan perhatian terhadap pelajar.
Kepelbagaian sosiobudaya yang wujud di dalam bilik darjah memerlukan guru
mengambil perhatian yang sesuai bagi membolehkan setiap pelajar mendapat
peluang yang adil untuk pembelajaran yang berkesan.
3.2.1 Penerimaan dan
Layanan Adil
Mengenali latar belakang pelajar, taraf sosioekonomi, tempat
tinggal, budaya, adat resam, kepercayaan dan agama akan membolehkan guru
memberikan layanan yang lebih adil kepada individu pelajar. Guru tidak
seharusnya melayani pelajar sebagai satu kelompok individu, kelompok kelas
sosial atau kelompok mengikut kaum etnik tetapi sebagai individu yang mempunyai
keunikan. Justeru, guru perlu memberikan layanan yang adil mengikut keperluan
individu pelajar.
3.2.2 Strategi Pembelajaran
Koperatif
Pembelajaran yang berkesan bagi sekumpulan pelajar tidak semestinya
berkesan bagi kumpulan lain. Guru tidak seharusnya menganggap semua pelajar
boleh belajar melalui cara yang sama. Pendidikan yang saksama bukan bermakna
sistem penyampaian yang sama digunakan untuk semua pelajar.
3.2.3 Pengurusan Bilik
Darjah dan Pengurusan Hubungan
Tugas guru secara eksplisit adalah mengajar dan melaksanakan
kurikulum formal tetapi secara realitinya guru menguruskan hubungan di dalam
bilik darjah agar pembelajaran yang berkesan boleh dicapai. Menguruskan 30 – 50
orang pelajar yang berlainan latar belakang bukanlah sesuatu yang mudah.
Sebagai satu komuniti kecil di dalam bilik darjah, kawalan tingkah laku
dianjurkan melalui peraturan dan rutin bilik darjah. Pematuhan peraturan
menjadi satu keperluan untuk mewujudkan suasana terkawal. Guru boleh
menggunakan kajian sosiometri untuk melihat hubungan antara pelajar di dalam
bilik darjah. Maklumat yang dikumpulkan hendaklah diipindahkan ke dalam bentuk
sosiogram.
3.2.4 Aspirasi/Jangkaan
Guru
Sesetengah guru memberikan respons yang berbeza kepada pelajar yang
mewakili kelompok kecil, minoriti atau kelas sosial rendah. Guru hendaklah
sedar bahawa potensi pelajar bukan berdasarkan kelas sosial, jantina atau
bangsa. Jangkaan guru terhadap prestasi pelajar berdasarkan elemen-elemen
generalisasi adalah tidak adil bagi pelajar. Biasanya pelajar yang telah
dilabel akan bertindak sebagaimana label yang disangkut kepadanya. Begitu juga
tindakan dan layanan guru terhadap pelajar. Dengan layanan yang berbeza, jarak
antara kelompok pelajar akan menjadi lebih jauh. Lantaran itu, pelajar kelas
akhir akan berasa tidak bermakna berada di sekolah, dianggap pelajar
‘bermasalah’, yang akhirnya akan bertingkah laku sebagaimana yang dijangkakan
guru.
3.2.5 Pemilihan Bahan
Sumber
Pembelajaran yang berkesan akan mudah berlaku sekiranya bahan sumber
pembelajaran sesuai dengan pengetahuan dan budaya pelajar. Sebuah kelas yang
terdiri daripada kaum dominan dan etnik minoriti mungkin berasa terabai dan
tidak dihargai sekiranya tidak ada unsur-unsur budaya etnik dalam sumber
pembelajaran. Nama-nama watak, tempat, makanan dan jenis pekerjaan yang
melibatkan kaum etnik yang pelbagai seharusnya dipilih sebagai teks dalam mata
pelajaran yang diajar. Oleh hal yang demikian, motivasi pelajar akan meningkat
dan pembelajaran akan menjadi lebih berkesan kerana contoh yang digunakan
berkaitan dengan pengalaman pelajar.
3.3 Implikasi
Kepelbagaian Sosiobudaya kepada Sekolah
Komposisi kaum dan etnik warga sekolah menggambarkan kepelbagaian
sosiobudaya dalam masyarakat. Budaya mikro yang menjadi amalan keluarga dan kaum
etnik akan dibawa masuk ke sekolah dan mempengaruhi sosiobudaya sekolah.
Bergantung kepada kecekapan pengurusan sekolah untuk mewujudkan budaya yang
sesuai untuk sekolah masing-masing.
3.3.1 Jenis Sekolah
Amalan dalam sistem persekolahan di Malaysia menjurus kearah
kebangsaan dan sistem berpusat, namun dalam pelaksanaannya wujud jenis-jenis
sekolah yang berbeza. Justeru, budaya sekolah juga berbeza memandangkan warga
sekolah-sekolah tertentu tergolong daripada kaum etnik tertentu.
Antara jenis
sekolah yang wujud adalah:
Jadual 1: Jenis-jenis Sekolah di Malaysia
Peringkat Rendah
|
Peringkat Menengah
|
Sekolah Kebangsaan
|
Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan
|
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
|
Sekolah Berasrama Penuh
|
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
|
Sekolah Berprestasi Tinggi
|
Sekolah Wawasan
|
|
Sekolah Bestari
|
|
Sekolah Menengah Teknik
|
|
Sekolah Menengah Sains
|
|
Sekolah Menengah Vokasional
|
|
Sekolah Pendidikan Khas
|
Jenis-jenis
sekolah mempunyai fokus yang berbeza turut mengamalkan budaya yang berbeza.
Rata-rata warga sekolah jenis kebangsaan
terdiri daripada satu etnik majoriti. Sosiobudaya yang mempengaruhi
amalan budaya di sekolah juga terbatas kepada etnik majoriti tersebut. Namun
akan wujud juga kepelbagaian berdasarkan budaya mikro sub-etnik daripada aspek
bahasa dan adat resam. Pelajar dan guru di SJK Tamil contohnya terdiri daripada
kaum Malayali, Tamil, Gujerati dan Sikh. Begitu juga di SJK Cina, sukuan
seperti Hokien, Kantonis dan Hakka akan membawa dialek dan budaya yang sedikit
berbeza. Majoriti pelajar di Sekolah Kebangsaan ialah etnik Melayu.
Kepelbagaian sosiobudaya juga dapat dilihat daripada segi kelas sosial dan
amalan adat resam serta kepercayaan agama.
3.3.2 Lokaliti Sekolah
Sekolah-sekolah yang terletak di bandar kebanyakannya disertai oleh
pelbagai latar belakang sosiobudaya: kelas sosial dan etnik. Sekolah-sekolah
luar bandar dan pedalaman biasanya merangkumi satu atau dua kaum etnik yang
mempunyai taraf sosioekonomi rendah. Sekolah-sekolah luar bandar sering
menghadapi masalah kekurangan guru, pertukaran guru yang kerap dan prestasi
pencapaian yang rendah. Justeru, budaya sekolah dipengaruhi aspek sosiobudaya
setempat yang terbatas.
3.3.3 Kepimpinan Sekolah
Berjaya atau sebaliknya sesebuah institusi atau sekolah bergantung
pada gaya kepemimpinan pengurus sekolah. Pengurus yang baik dapat mewujudkan
iklim sekolah yang mesra, memotivasikan dan kerjasama sebagai sebuah pasukan.
Kerencaman sosiobudaya boleh dimanfaatkan untuk mencapai matlamat sekolah.
Saling kerjasama antara sekolah dan komuniti, khususnya melalui peranan
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memanfaatkan sekolah.
3.4 Cara Saya Menangani
Implikasi Sosiobudaya dalam kalangan murid.
3.4.1 Aspek bahasa
Saya akan sentiasa memikirkan bagaimana mengaplikasikan pelbagai
pedagogi yang bersesuaian dalam pengajaran bahasa supaya murid-murid berupaya
menguasainya dengan baik bukan sekadar untuk berkomunikasi semata-mata, malahan
sebagai lambang martabat dan keperibadian rakyat satu Malaysia. Saya akan
mengaplikasikan bahasa dan budaya yang pelbagai daripada pelajar sendiri
sebagai bahan pengajaran. Saya akan menggunakan bahasa standard iaitu bahasa
rasmi kebangsaan iaitu bahasa Melayu tanpa pengaruh bahasa dialek. Namun,
sebelum saya menggunakan mana-mana kaedah dalam mengajar kemahiran berbahasa
murid, saya akan mengambil tahu latar belakang anak murid saya, budaya,
kekuatan dan kelemahannya, serta minatnya supaya proses pengajaran dan
pembelajaran bahasa berjalan lancar. Saya akan membuat perancangan pengajaran
dan pembelajaran yang sesuai, spesifik dan relevan dengan objektif
pembelajaran, persekitaran bilik darjah, masa yang diperuntukkan dan profil
pelajar mengikut tahap kecerdasan.
3.4.2 Aspek Etnik/Kaum
Saya akan pastikan pengajaran saya berkesan, dengan sedaya upaya
memastikan kesesuaian bahan pengajaran, dan sumber pembelajaran. Saya akan
melibatkan murid secara aktif tanpa mengira kaum dan tahap sosial mereka.
Dengan itu murid saya yang terdiri dari etnik minoriti tidak akan merasa
dipinggirkan. Selain itu saya akan meningkatkan kemahiran dalam mengurus bilik
darjah dan mengintergrasikan TMK dalam pengajaran saya.
3.4.3 Aspek Kelas Sosial
Saya akan pastikan tiada anak murid saya yang tercicir daripada
mengikuti pembelajaran di kelas/di sekolah hanya kerana murid saya terdiri
daripada kelas sosial rendah. Saya akan mengambil berat akan masalah yang
mereka hadapi. Jika berkaitan dengan kewangan, saya akan panjangkan kepada
pengurusan sekolah supaya bantuan yang sewajarnya dapat diberi kepada murid
saya. Ini kerana kerajaan ada menyediakan bantuan kewangan untuk murid-murid
miskin yang dikenali sebagai KWAMP ( Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin).
Dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, saya akan mengurus tingkahlaku
murid berdasarkan matlamat untuk menghapus atau merapatkan jurang kepelbagaian
sosio-budaya di kalangan murid agar prinsip keadilan, kesaksamaan dapat
dipraktikkan. Saya akan menyenaraikan maklumat yang perlu murid ketahui tentang
peraturan yang wajib mereka patuhi sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran.
Murid harus bersosial dalam melakukan aktiviti pembelajaran. Murid harus
berinteraksi tanpa mengira kelas sosial dan perlu membuang sikap prejudis
terhadap bangsa lain.
3.4.4 Aspek Petempatan
Guru sebagai ‘role model’ kepada murid-murid. Murid biasanya akan
terpengaruh kepada tindakan guru yang menunjukkan teladan sebagai seorang
profesional. Oleh itu saya bersama rakan-rakan akan membentuk program-program
yang bertujuan membangunkan murid, dengan peraturan dan arahan yang jelas bagi
mengurangkan tingkah laku negatif. Saya akan wujudkan budaya belajar yang
ceria, menyeronokkan, menyentuh emosi, di samping meningkatkan kecergasan
mental, kreatif dan inovatif dan bermatlamat boleh menarik minat murid. Semoga
dengan itu, di mana pun murid tinggal, sama ada di bandar dan pinggir bandar,
luar bandar dan pedalaman, mereka akan tetap berusaha supaya dapat hadir untuk
mendapatkan ilmu di sekolah.
3.4.5 Aspek Gaya Berfikir dan
Gaya Belajar
Saya akan kenal pasti murid yang memerlukan gaya belajar visual, audio
dan kinestetik. Saya perlu mempelbagaikan kaedah, pendekatan dan teknik
pengajaran saya supaya sesuai dengan murid yang berbeza gaya belajarnya.
Begitu juga dengan murid yang mempunyai gaya berfikir yang berbeza. Bagi
mereka yang gaya berfikirnya jenis ‘bergantung latar’, saya akan memberi
bantuan latar persekitaran supaya mereka dapat memahami dan menanggapi
pembelajaran. Bagi murid yang gaya berfikirnya ‘Impulsif’, saya akan kerap
membuat penilaian atau semakan, supaya kesilapan yang mereka lakukan dapat
diperbetulkan.
3.4.6 Aspek Gender
Saya akan merancang dan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran
yang dapat mengurangkan ketidak seimbangan di dalam penyampaian kepada setiap
murid. Saya perlu mengenali dan memahami sosio budaya setiap murid agar sesi
pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan mesra murid. Saya akan
terapkan budaya hormat- menghormati di kalangan murid saya dan saya akan sedaya
upaya bersikap adil terhadap mereka.
Jika murid melakukan kesalahan, saya tidak akan memberi hukuman berbentuk
deraan dan sengaja memalukan mereka kerana ini akan menyebabkan hubungan saya
dengan murid renggang. Saya khuatir jika keadaan tersebut akan menghilangkan
minat mereka untuk meneruskan pembelajaran.
4. Refleksi
Guru merupakan ejen perubahan dan sumber inspirasi kepada murid. Anjakan
paradigma haruslah dilakukan oleh setiap guru supaya tidak sentiasa berada di
zon selesa.. Guru haruslah pro-aktif dalam mengatasi kelebihan dan kelemahan
muridnya. Penyampaian pengajaran guru haruslah kreatif dan efektif, menarik dan
menyeronokkan. Guru mesti sentiasa memberikan pengalaman dan suasana baru
kepada murid supaya murid tidak jemu untuk belajar. Guru mesti memastikan
murid-murid jatuh cinta dengan pengajaran guru supaya guru boleh menguasai
murid untuk mengikut arahan dan nasihat yang guru berikan.
Pengajaran berkesan oleh guru bukan sahaja meliputi aspek kurikulum yang diajar
di dalam bilik darjah, malahan meliputi skop yang lebih luas seperti gaya
kepimpinan, budaya ilmu dan berfikir, pengurusan bilik darjah, motivasi dan
dorongan serta kepimpinan kurikulum di tempat kerja. Guru-guru adalah keluarga
terdekat murid di sekolah. Guru perlu sikap perihatin dan rasa tanggungjawab
yang jitu untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak didik mereka tidak tidak
kira etnik dan kaum. Guru adalah agen utama untuk mempastikan sosiobudaya yang
sihat akan terus berkembang dan diamalkan serta sebati dalam setiap jiwa murid.
Guru tidak boleh
melakukan diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan
agama, ras, keturunan atau tempat lahir. Kepercayaan dan amalan agama yang
dianuti tidak harus dipertikaikan dan aktiviti yang dijalankan haruslah
berupaya menyemai semangat saling percaya dan mempercayai ke dalam jiwa murid.
Proses sosialisasi antara kaum tanpa mengira anutan agama hendaklah
dikembangkan supaya pembentukan kendiri murid dapat dilaksanakan. Secara
langsung semangat perpaduan dapat dijalinkan dalam masyarakat dan seterusnya
berupaya membentuk masyarakat yang toleran ke arah memacu pembangunan negara.
Dalam berkomunikasi,
penggunaan bahasa standard iaitu bahasa Melayu harus diamalkan oleh murid.
Unsur-unsur dialek mengikut kaum seharusnya dielakkan, penggunaan laras bahasa
yang tepat mestilah diamalkan dalam situasi yang sesuai, aktiviti yang bercorak
kearah peningkatan bahasa perlu disertai supaya tahap penguasaan murid
bertambah. Perbendaharaan kata yang tepat akan membantu murid mencapai
kematangan sosial yang sepatutnya.
Murid juga digalakkan
berinteraksi dan berhubung dengan mereka yang berlainan jantina. Mereka juga
perlu diberikan kesedaran batasan perhubungan dalam interaksi berlainan
jantina. Dalam pengurusan bilik darjah, setiap murid haruslah diberikan peranan
dan tanggungjawab tertentu untuk menanam semangat kerjasama dan cintakan kelas
mereka. Ahli Jawatankuasa keceriaan kelas perlu diwujudkan di samping jawatan
ketua kelas dan penolong ketua kelas. Dengan ini setiap murid dapat merasakan
mereka tidak dipinggirkan di dalam kelas mereka. Semangat untuk menjaga
keharmonian,kesejahteraan dan kebersihan akan lebih terserlah lagi kerana mereka menyedari bahawa diri mereka adalah terdiri daripada warga
kelas yang juga ada peranannya.
Ulasan
Catat Ulasan