Linguistik
3.0 Pengertian struktur lingusitik
Dalam Kamus Dewan Bahasa
edisi keempat, linguistik boleh didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang
bahasa. Linguistik juga diterjemahkan sebagai suatu sains yang mengkaji bahasa
(Abdullah Hassan, 1984). Linguistik ialah pengkajian sains mengenai bahasa
kerana linguistik memenuhi syarat yang diperlukan seperti pengkajian sains yang
lain. Linguistik dikatakan saintifik kerana kaedah yang digunakan empirikal
berdasarkan sesuatu yang dilihat, dirasa, didengar. Struktur linguistik
terbahagi kepada dua cabang utama iaitu struktur bahasa atau tatabahasa dan struktur makna. Struktur
bahasa atau tatabahasa meliputi
morfologi, sintaksis, fonetik dan fonologi. Sementara struktur makna pula
terdiri daripada semantik dan pragmatik. Fonetik dan fonologi adalah berkaitan
struktur bunyi bahasa sementara
morfologi merujuk kepada struktur kata. Sintaksis pula merujuk kepada struktur
antara perkataan dan semantik adalah struktur berkaitan dengan makna.
Pragmantik pula adalah struktur antara bahasa lisan dengan apa yang
diperkatakan.
3.1 Kepentingan struktur linguistik kepada
pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu
KSSR.
Struktur lingustik
yang melibatkan kajian fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik memang mempunyai
kepentingan di dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu KSSR. Seorang
guru yang baik dalam bidang pedagoginya
perlu menggunakan pelbagai kaedah dan
teknik untuk menyampaikan maklumat dan fakta-fakta sistem bahasa kepada murid-muridnya. Pengetahuan yang mendalam
dalam struktur linguistik akan
membuatkan seorang guru berkeupayaan
untuk mengajar struktur bahasa dengan betul dan dapat mendeskripsikan bahasa
dengan tepat. Ini juga akan membuatkan
guru akan lebih berkeyakinan untuk
mempersembahkan pengajaran yang berdaya saing
dan berkesan sekaligus mampu membuatkan murid-muridnya memahami bahasa
Melayu dengan mudah dan cepat.
Matlamat Pendidikan Bahasa Melayu
adalah untuk membimbing murid-murid
menguasai kecekapan berbahasa bagi membolehkan mereka berkomunikasi
dengan berkesan bagi melahirkan fikiran dan perasaan tentang ilmu pengetahuan
melalui lisan dan penulisan. Struktur lingustik
adalah asas kemahiran komunikasi. Komunikasi ini adalah amat penting di
laksanakan di dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Guru yang dapat menguasai ilmu linguistik dari aspek fonologi, morfologi, sintaksis,
pragmantik dan semantik akan dapat menyampaikan pengajaraan yang lebih
bersistematik dan berkesan. Penyampaian
guru yang berkesan ini akan mampu
mempengaruhi murid menjadi penutur yang
dapat menuturkan bahasa dengan baik dan betul di antara satu sama lain. Keadaan
ini amat berkesan untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu KSSR yang
melibatkan murid pelbagai kaum di dalam
kelas. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran seperti berlakon, wawancara,
temuramah dapat memberikan latihan kepada murid-murid untuk berlatih menggunakan struktur linguistik dengan betul.
Kepentingan struktur linguistik dapat dilihat
di dalam penubuhan dasar-dasar
bahasa dan persediaan bahan-bahan pengajaran bahasa terutama di dalam
penyediaan buku-buku teks bahasa Melayu
KSSR. Struktur linguistik juga digunakan dalam penyediaan bahan-bahan
pengajaran oleh ahli-ahli bahasa dan penyelidik bahasa.
Kepentingan
struktur lingustik yang lain adalah
untuk mengkaji bagi mengetahui dan
memahami kesulitan serta kesukaran yang terdapat di dalam pengajaran bahasa Melayu.
Misalnya masalah bunyi, makna, sejarah, perbandingan, tatabahasa, perkamusan
dan lain-lain lagi. Linguistik berusaha untuk memahami dan menghuraikan masalah
bahasa dengan sikap, teknik, cara dan
disiplin yang tertentu. Kajian terhadap struktur dalaman bahasa seperti
fonologi, morfologi, sintaksis, semantik
sentiasa dilaksanakan untuk
memastikan perkembangan linguistik.
Dengan ini pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu tidak akan statik dan terus berkembang sejajar
dengan bahasa-bahasa lain di dunia. Peranan guru bahasa Melayu yang menguasai bidang struktur lingustik dengan baik akan menjadi pemangkin
untuk memastikan segala kesulitan murid di dalam pemahaman bahasa Melayu dapat
diatasi dengan baik dan seterusnya menjamin kejayaan murid untuk menguasai
bahasa Melayu dengan cekap.
Kepentingan
struktur lingusitik dapat dibuktikan lagi melalui pengajaran bahasa kedua.
Sistem Pendidikan di Malaysia telah mengiktiraf
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan di
Malaysia. Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar kedua. Bagi murid yang menggunakan bahasa Melayu di rumah sebagai bahasa ibunda, adalah tidak sukar untuk mereka memahami
pelajaran bahasa Melayu yang diajari oleh guru-guru di sekolah. Bagi
murid-murid bukan Melayu seperti Cina, India
yang sememangnya menggunakan bahasa ibunda mereka di rumah akan menghadapi
masalah semasa mempelajari bahasa Melayu. Kesukaran murid-murid Cina dan India
ini dapat diringankan oleh guru-guru yang mempunyai kemahiran struktur
linguistik yang baik. Guru-guru ini menggunakan
struktur lingusitik untuk
mengesan segala kesilapan murid semasa menggunakan bahasa Melayu dan dapat
membantu murid-murid menguasai bahasa Melayu semasa sesi pengajaran bahasa Melayu dengan lebih
berkesan. Ini membuktikan bahawa struktur linguistik dapat membantu mengatasi masalah pemahaman bahasa Melayu
dengan sistematik.
3.2 Sumbangan tokoh-tokoh terhadap
pengajaran dan Pembelajaran bahasa Melayu KSSR.
Ahli bahasa Yunani seperti Plato dan
Aristotle pada abad ke lima telah mengemukakan teori linguistik
tradisional. Teori ini kemudiannya telah
dilanjutkan oleh orang-orang Romawi yang mengkaji bahasa Latin dan kemudiannya
oleh sarjana-sarjana Arab dan pengkaji-pengkaji sarjana Arab dan
pengkaji-pengkaji India iaitu Panini
yang mengkaji bahasa Sanskrit.
Teori tradisional dalam pemerian
bahasa menggunakan bahasa tulisan sebagai bahan kajian. Tujuan mereka ialah
untuk membentuk peraturan-peraturan bahasa yang normatif dan
preskriptif sifatnya supaya dapat diwujudkan satu bentuk bahasa yang
betul dan tepat sepanjang masa. Bagi mereka kemurnian bahasa haruslah
dikekalkan. Malangnya corak kajian mereka tidak begitu saintifik kerana dasar
yang mereka gunakan ialah lojik dan falsafah, iaitu satu bidang ilmu yan
popular dalam penyelidikan terhadap sifat atau tabii alam pada waktu itu.
Penekanan kajian mereka pula ialah
aspek penggolongan perkataan dan penggolongan itu dibuat berdasarkan makna.
Bagi mereka apa sahaja bahasa di dunia ini mempunyai ciri-ciri yang universal
dan huraian terhadap bahasa haruslah dibuat berdasarkan sifat-sifat universal
itu. Bahasa model yang dianggap ideal ialah bahasa Greek dan Latin. Semasa
mengkaji dan menghuraikan segala bahasa sedapat mungkin haruslah dicari unsur-unsur
yang sama dengan bahasa Latin dan huraian haruslah dibuat berdasarkan bahasa
model tadi.
Teori linguistik tradisonal ini telah
membuat deskripsi mengenai satu huraian
mengenai bahasa sebagai satu sistem
dan memberikan maklumat mengenai
bagaimana penutur-penurur bahasa
berkomunikasi dengan menggunakan bahasa itu. Teori linguistik tradisonal ini
telah mempengaruhi kaedah pengajaran bahasa pada waktu itu dan di antara kaedah
yang umum dipraktikkan ialah kaedah nahu, kaedah terjemahan, nahu terjemahan
dan lain-lain lagi. Kaedah-kaedah ini digunakan oleh guru untuk menjalankan
pengajaran bahasa Melayu di sekolah- sekolah. Pengajaran yang menggunakan teori
tradisional ini adalah lebih menekankan
kemahiran menulis daripada kemahiran lisan dan tatabahasa yang diajarkan adalah
tatabahasa yang bersifat normatif dan
preskriptif. Pengajaran mengenai struktur bahasa seharusnya dijalankan secara
formal dan bidang makna perlu diberikan penekanan.
Ahli-ahli bahasa seperti Bloomfield, Fries,
Otto Jespersen, Palmer, dan Sapir berpegang kepada aliran teori Linguistik
struktural. Teori Linguistik struktural telah muncul dalam abad kedua puluh.
Aliran ini menumpukan kajian kepada struktur bahasa dan mereka menganggap
bahasa adalah pertuturan. Fries ( 1940) misalnya mengatakan bahawa pertuturan
adalah bahasa. Rakaman bahasa bertulis
adalah juga bahasa tetapi bentuk ini adalah representasi bahasa yang kedua.
Oleh yang demikian bentuk bahasa yang mereka jadikan bahan kajian adalah bentuk
lisan. Sehubungan dengan itu mereka beranggapan bahawa bahasa adalah alat
komunikasi.
Golongan struktural juga berpendapat
bahawa bahasa adalah satu sistem iaitu sistem bentuk-bentuk yang di dalamnya
terkandung unsur-unsur atau item-item yang kalau digabungkan berdasarkan
peraturan-peraturan tertentu akan menerbitkan ayat ( Bell 1981). Tugas ahli teori
Linguistik struktural ialah membentuk
huraian atau deskripsi terhadap sistem
ini tanpa terikat kepada makna. Analisis seharusnya objektif serta berdasarkan
struktur. Bagi mereka unsur-unsur bahasa tidak dapat dikaji secara berasingan
kerana unsur-unsur itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan suatu
sistem yang besar dan di antara
unsur-unsur itu ada pertalian antara satu sama lain. Apabila mengkaji morfem,
kajian ini tidak dapat dipisahkan
daripada kajian tatabahasa kerana morfem merupakan unit tatabahasa. Ahli
teori linguistik struktural membuat
penganalisaan dan menamakannya Konstituen Terdekat. Tangapan ahli teori Linguistik struktural terhadap bahasa ada persamaannya dengan
tanggapan ahli-ahli psikolinguistik yang menganuti teori behaviurisme dalam
pembelajaran. Kedua-dua golongan ini telah mempengaruhi bidang pengajaran
bahasa dan telah membawa kepada
terbitnya beberapa kaedah yang bersesuaian
dengan prinsip yang mereka pegang. Di antara kaedah itu ialah Kaedah
Terus, Kaedah Fonetik, Kaedah Semulajadi, Kaedah Psikologi dan Kaedah Situasi.
Kaedah-kaedah ini menyarankan penggunaan terus bahasa sasaran atau bahasa matlamat dan menekankan kemahiran lisan dalam
pengajaran dan pembelajaran bahasa. Latih-tubi bentuk-bentuk bahasa secara lisan
diutamakan supaya bentuk-bentuk itu menjadi kebiasaan Tatabahasa tidak
diajarkan secara formal dan aspek makna tidak dipentingkan. Bagi guru-guru yang
mahu menggunakan kaedah ini di dalam pengajaran bahasa harus menggunakan bahasa
Melayu semasa semasa pengajaran dan tidak menggunakan bahasa ibunda murid-murid
sekiranya guru itu mengajar murid-murid Cina dan India yang tidak menggunakan
bahasa Melayu sebagai pertuturan harian. Guru-guru akan memberikan peluang untuk
murid-murid ini mendengar perbualan-bualan bahasa seperti lakonan, wawancara,
sumbangsaran. Murid-murid ini akan mendengar, meniru serta mengulangi perbualan
ini bagi membentuk kebiasaan. Guru-guru juga menggalakkan murid-murid untuk
terlibat secara aktif di dalam aktiviti itu. Dengan cara ini murid-murid akan
terlazim menggunakan bahasa Melayu
kerana telah biasa terlibat dalam aktiviti yang menggunakan bahasa itu.
Noam Chomsky adalah pengasas Teori Linguistik
Transformasi Generatif. Beliau adalah ahli bahasa Amerika. Buku-buku tulisan
Noam Chomsky ialah Syntactic Structure (1957),Aspects of Theory of Syntax (
1965) Dan Language and Mine ( 1986). Teori Linguistik Transformasi Generatif
menumpukan pengajian terhadap kecekapan
yang dimiliki oleh penutur jati. Ahlu-ahli bahasa golongan ini
berpendapat bahawa kecekapan untuk
berbahasa adalah suatu yang semulajadi. Seseorang boleh bertutur dengan membentuk ayat-ayat mereka sendiri walaupun ayat-ayat itu belum pernah didengari atau dituturkan. Penutur
jati juga boleh menilai sama ada ayat-ayat yang didengari adalah gramatis ataupun sebaliknya. Ahli Teori
Linguistik Transformasi Generatif berpendapat kecekapan adalah dimaksudkan
kepada rumus-rumus atau
peraturan-peraturan bahasa yang ada dalam pengetahuan seseorang. Rumus-rumus
ini akan digunakan untuk membentuk ayat-ayatnya sendiri ataupun untuk memahami dan menganalisis pertuturan orang lain. Bell (1980) mengatakan bahawa
Teori Tatabahasa Transformasi Generatif mengandungi dua rumus iaitu rumus struktur frasa yang dikenali juga
sebagai rumus dasar dan rumus
transformasi. Kedua-dua rumus ini tersimpan dalam pengetahuan atau kecekapan
seseorang.
Bagi menghuraikan ayat, Noam Chomsky
mengutarakan dua jenis struktur iaitu struktur dalam iaitu struktur ayat asas
atau ayat dasar yang menentukan makna sesuatu ayat. Sementara struktur luaran
iaitu struktur lahiriah sesuatu ayat adalah suatu ayat yang diucapkan oleh
seseorang. Struktur luaran mungkin akan
mengalami perubahan seperti pengurangan dan tokok tambah daripada struktur
dalamannya. Noam Chomsky ( 1959) mengatakan bahawa dalam penguasaan bahasa,
seseorang itu mempunyai kecekapan dan
prestasi. Kecekapan adalah rumus-rumus
atau undang-undang yang ada di dalam stok mental seseorang sementara
prestasi adalah aspek penggunaan
bahasa itu iaitu aspek praktik terhadap apa yang diketahui
mengenai bahasa. Kelebihan huraian ayat seperti ini memudahkan kita memahami
ayat-ayat yang dari segi maknanya mempunyai
kesamaran. Pandangan ahli Teori Linguistik Transformasi Generatif ini ada persamaannya dengan ahli-ahli
psikologi mentalisme.
Segala pandangan mereka
telah mempengaruhi pula bidang
pengajaran bahasa dekad kebelakangan ini. Dalam pengajaran bahasa ,
penekanan diberi bukan sahaja semata-mata kepada prestasi pelajaran tetapi juga
kecekapan mereka. Menurut Noam Chomsky pembelajaran adalah proses penyelesaian
masalah. Apabila murid-murid didedahkan kepada data-data bahasa , maka mereka
akan mencipta ‘copnitive map’ dalam pemikiran mereka. Ini adalah sebagai
langkah menjadikan data itu bermakna. Mereka akan membina hipotesis dan
memncuba hipotesis itu dengan membentuk ayat-ayat baru. Guru-guru menjdi pakar
rujuk bagi memperakukan sama ada
pembentukan dan percubaan hipotesis mereka itu betul atau salah.
Teori Transformasi Generatif ini tidak menghasilkan kaedah-kaedah
pengajaran bahasa dengan
nama-nama tertentu. Pada dasarnya Teori Transformasi Generatif ini memperakui kaedah-kaedah pengajaran yang memberatkan proses mental. Teori Transformasi Generatif ini mempunyai kepentingan dalam pengajaran bahasa. Prinsip-prinsip
pengajaran bahasa yang mereka temui telah menjadi panduan guru-guru untuk
mengajar bahasa. Prinsip-prinsi itu ialah:
1.
Pengajaran
haruslah mengutamakan kebolehan mental kanak-kanak. Daya mental semulajadi
kanak-kanak perlulah dipergunakan dengan
menekankan pengajaran kepada aktiviti
penyelesaian masalah. Mereka dihadapkan dengan pelbagai data bahasa untuk memberi peluang kepada
mereka mencipta hipotesis-hipotesis
dengan menggunakan data-data itu. Latihan-latihan yang berpusatkan
kepada struktur bahasa yang menjadi masalah dikatakan menghasilkan kesan yang
lebih baik. Kanak-kanak yang mempunyai kebolehan semulajadi untuk menguasai bahasa telah mencipta ayat-ayat baru yang belum pernah mereka
dengar atau tuturkan. Pengajaran bahasa haruslah cuba mengcungkil,
memperkembangkan kreativiti pelajar dalam penggunaan bahasa.
2.
Struktur
haruslah diajarkan secara formal.
Prinsip ini bertujuan untuk memperkayakan kecekapan agar
tahap prestasi pelajar dapat dipertingkatkan. Golongan ini beranggapan bahawa
hanya dengan mempunyai pengetahuan mengenai struktur bahasa sahaja seseorang berupaya membentuk ayat-ayat gramatis. Rumus-rumus
yang diajarkan mestilah disertai dengan huraian sekali dan diikuti pula dengan
contoh-contoh.
3.
Aspek
bahasa yang diutamakan dalam pengajaran ialah sintaksis dan morfologi. Kemahiran bahasa yang diutamakan oleh teori
ini adalah membaca dan menulis.
4.
Kesilapan-kesilapan
bahasa yang umum dilakukan oleh pelajar pada peringkat kematangan haruslah
diambil kira dalam pemilihan dan penyusunan bahan pengajaran. Kadar
perkembangan bahasa kanak-kanak adalah sama pada peringkat kematangan yang sama. Begitu
juga dengan jenis-jenis kesilapan yang mereka lakukan. Keadaan ini telah
dibuktikan oleh kajian-kajian yang pernah dibuat oleh bellugi dan Brown ( 1963)
yang mendapati kanak-kanak menguasai struktur ayat aktif terlebih dahulu
kemudian baru ayat pasif. Dato( 1971) pula mendapati bahawa corak dan susunan
penguasaan unsur-unsur sintaksis yang tertentu yang diperlihatkan oleh contoh adalah seragam bentuknya.
3.3 Kesimpulan
Semua
teori-teori lingusitik yang dikaji oleh tokoh-tokoh ini telah digunakan untuk menghuraikan
unsur-unsur dan struktur-struktur bahasa. Huraian yang dibuat adalah meliputi semua aspek morfologi, fonologi, fonetik,
sintaksis, pragmatik dan semantik. Hasil huraian ini menjadi model penting
kepada guru bahasa Melayu untuk menjana isi atau bahan pengajaran yang hendak disampaikan
kepada pelajar. Pengetahuan yang mendalam
dalam struktur linguistik ini
akan membolehkan guru bahasa Melayu dapat mengajar struktur-struktur bahasa dengan betul dan menghuraikan bahasa dengan
tepat. Pengetahuan guru-guru bahasa
tentang bahasa ini amat membantu guru-guru
mengenal pasti kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid di dalam
sebutan, tatabahasa, ejaan, penggunaan perkataan dan seterusnya dapat memperbetulkan
kesilapan-kesilapan tersebut. Tentang
betapa pentingnya linguistik kepada pengajaran bahasa dapat kita lihat daripada
kenyataan Lado ( 1974: 22 )” The relevance of linguistic information and
traning for the language teacher should be self-evildent from the fact that
linguistics provides the description of the sounds,words and sentences he must
teach and helps him to understand the linguistic problems of his students’.
Segala
deskripsi bahasa yang dihuraikan oleh ahli teori bahasa dapat membantu guru dalam merangka dan menyusun nahu pedagogi
yang akan dibawa dalam situasi pengajaran. Nahu pedagogi adalah nahu yang digubal atau disusun
bersesuaian dengan kehendak-kehendak pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Nahu ini mengambil kira sumbangan-sumbangan disiplin yang dinyatakan tadi. Segala bahan sumbangan
daripada bidang penghuraian bahasa, sosiolinguistik dan psikolinguistik
mestilah diadun dengan begitu rapi dan licin supaya dapat dipersembahkan secara
berkesan dalam pengajaran bilik darjah. Justeru itu, pengajaran yang dan pembelajaran bahasa yang sistematik,
berurutan dan berkesan berdasarkan deskripsi bahasa akan dapat menghasilkan murid yang mempunyai kecekapan
dari segi ilmu linguistik, cekap menggunakan bahasa yang diajarkan mengikut
konteks dan norma-norma yang ditentukan oleh sosiobudaya masyarakat bahasa
berkenaan.
Ulasan
Catat Ulasan